Saturday, June 12, 2010

waltz in abandoned parking lots...

kalau masa berjalan terlalu cepat

atau terlalu lambat

dan membawa kau kepadaku terlalu lekas

atau terlalu lewat

janganlah menyesal

kerana tidak semua kembang merekah di musim bunga

-Firdaus Abdullah, Surat Cinta Tanpa Nama




Selama dua puluh tahun aku hidup, aku tidak pernah sekalipun memiliki teman lelaki.
Tidak pernah sekalipun menggenggam erat tangan manusia yang berlainan jantina ketika melintas jalanraya.
Tidak pernah berkucupan di dalam renyai-renyai hujan.
Tidak pernah menghabiskan masa berjam-jam lamanya berbual dalam telefon.
Selama aku hidup, aku hanya pernah menyimpan perasaan pada tiga orang lelaki.



Yang ketiga itu muncul tiba-tiba dari sudut kehidupan yang paling tidak diduga. Dia tidak mampu bikin tapak tanganku berpeluh, percakapanku gagap dan perutku senak dengan kehadirannya seperti yang pertama. Dia juga tidak mampu menghentikan trafik dengan mejelis rupanya seperti yang kedua. Dia beri aku bahagia dalam bentuk yang baru, bentuk yang lebih mendamaikan.


Ironinya bertambah, buat aku tertanya-tanya apakah dia sememangnya diciptakan untuk aku.
Atau adakah dia sekadar satu bentuk peringatan dari tuhan, bahawa percintaan yang aku inginkan itu terlalu juvenile, tidak realistik, tidak rasional.

..................................................


Tempoh hari bapa saudara aku menghadiri sebuah majlis pernikahan di Johor Bharu. Dia sendiri masih belum menikah walaupun umurnya hampir mencecah separuh abad. Sepanjang tempoh dia membesarkan aku, tidak pernah sekalipun aku lihat dia rapat dengan mana-mana perempuan. Malah, gadis-gadis yang merisik khabar tentangnya ditolak mentah-mentah.


Sehinggalah menjelang hari raya yang lepas, aku lihat perubahan dalam dirinya. Rupa-rupanya hatinya sudah dimiliki seorang gadis yang juga turut menyimpan perasaan padanya.


Dan tempoh hari, dia menghadiri majlis pernikahan gadis itu.


Omak kata, bapa saudara aku gentleman kerana tetap hadir di majlis pernikahan itu walaupun hatinya pasti luluh melihat gadis idamannya di samping lelaki lain.


Seandainya dia bukan lelaki yang rasional dan realistik, pasti sahaja dia telah menghalang pernikahan itu daripada berlaku. Pasti sahaja dia sudah bahagia bersama cinta hatinya itu.

Jadi tuhan, percintaan yang aku inginkan itu tidak keterlaluan bukan?

........................................................


Persamaan aku dan bapa saudaraku ialah faktor masa.

Dia hadir terlalu lewat dalam hidup gadis itu, justeru gagal sehidup semati dengannya.

Aku hadir terlalu lewat dalam hidup lelaki ketiga, kerana dia terlebih dahulu jatuh cinta dengan perempuan yang tidak aku kenali siapa.



Dan dia, seperti watak lelaki yang distereotaip dalam novel-novel cinta, memiliki sekeping hati yang parut lukanya masih belum sembuh dimakan hari.

No comments:

Post a Comment