Wednesday, May 5, 2010

Requiem For a Dying Song

Soleh (bukan nama sebenar), seorang pemuda yang berasal dari Raub, berusia awal dua puluhan, merupakan manusia yang sering ditindas.


Misalnya, ketika semua rakan sekuliahnya saling menumpang kereta untuk menghadiri peperiksaan akhir yang diadakan diluar kawasan kampus utama, Soleh terpaksa berjalan kaki dari blok 47, ke dewan peperiksaan kerana tidak seorangpun dari mereka tergerak hati untuk bertanya tentang mod transportasi Soleh pada hari itu.


Tetapi Soleh (bukan nama sebenar), tidak kisah tentang ketidaksudian mereka kerana sebagai seorang punkers, Soleh berpegang teguh kepada prinsip berjalan kaki seorang diri. Soleh berkata pada dirinya sendiri, seandainya mamat-mamat skinhead tegar mampu berjalan kaki dari Chowkit ke KLCC, dia juga mampu menapak dari blok 47 hingga ke dewan peperiksaan. Ya, Soleh memang menggemari muzik punk. Bagi Soleh (bukan nama sebenar), Green Day dan Sex Pistol merupakan anugerah tuhan kepadanya. Tanpa Green Day dan Sex Pistol, barangkali dia telah makan sampah KFC, monolog Soleh ketika berjalan kaki seorang diri.


Namun seperkara yang Soleh tidak faham mengapa mereka sering menindas dirinya. Soleh amat yakin bahawa dia seorang lelaki yang berbudi bahasa. Malah, Soleh sering berlemah-lembut dalam soal persahabatan. Misalnya, ketika bermain permainan komputer, dan Soleh gagal menumpaskan rakan-rakannya yang turut serta dalam permainan itu, Soleh akan mengambil inisiatif yang mulia seperti menangis. Namun tindakan Soleh bukan bermaksud dia tidak puas hati dengan kemenangan orang lain. Soleh (bukan nama sebenar) berpegang kepada prinsip menangisi dan meratapi kebodohan sendiri.


Barangkali mereka cemburu.
Ya, Soleh amat pasti akan hakikat itu;
mereka semua cemburu padanya, pada kelebihan yang dia ada.


Mereka cemburu kerana kecekalan Soleh bermain permainan komputer telah mengakibatkan seluruh isi rumah sewanya di blok 47, tidak sempat untuk bangun bersahur. Mereka cemburu akan kegagahan Soleh ketika mengangkut tong gas tanpa menaiki lif. Mereka cemburu kerana Soleh lebih hebat dan lebih kacak dari segi rohani dan jasmani.



Pada suatu hari, Soleh (bukan nama sebenar) membuka peti sejuk, dan alangkah terkejutnya pemuda itu apabila mendapati cinta hatinya sudah tidak ada di situ.

Tidak seperti selalu, langit petang kekal cerah dan suasana di blok 47 amat meriah.

Bumi dan seluruh warganya tidak sedikitpun sudi untuk menghulurkan simpati pada Soleh yang kehilangan tempoyaknya.

2 comments:

  1. hahaha...bobbi...sungguh hebat soleh itu..sya sgt kagum dgn kepandaian dan ketampanan beliau...sgt hebat beliau

    ReplyDelete
  2. itulah, soleh amat hebat...
    soleh adalah segala-galanya hehehehehe :)

    ReplyDelete