Thursday, May 14, 2009

daughters

scene 1:

Hari itu harijadi Apak. Memandangkan aku seorang perempuan yang miskin harta tetapi kaya budi pekerti, aku sekadar menemani Omak mencari hadiah harijadi Apak di pusat membeli belah terkemuka Selayang Mall. Sedang aku dan Omak membelek-belek selipar di sebuah kedai kasut, aku terpandang seorang brader yang sedang membelek boot bola bersama dengan seorang rakannya. Sekaligus, darahku berderau, jantungku berdegup pantas, fikiranku kosong seketika kerana yang aku lihat ketika itu tidak lain tidak bukan seorang lelaki bernama Kahar. Untuk pengetahuan anda, Kahar merupakan abang paling indah, menawan, dan luar biasa kacak di kawasan perumahan aku. Tambahan pula, kehebatannya bermain bola sepak menjadikan dia menantu idaman setiap suri rumah di kawasan perumahan itu. Aku berpura-pura tidak perasan akan kehadirannya di kedai itu. Hatiku kacau.
Setelah keluar dari kedai kasut itu, aku katakan pada Omak bahawasanya lelaki kacak di dalam kedai kasut itu ialah Kahar. Omak lantas berkata,
"Lah kenapa tak cakap awal-awal...Kalau tak Mak dah tegur tadi, 'eh, kahar! Dah besar Kahar sekarang ye!'..."
Aku geleng kepala. Barangkali Omak sudah lupa, semenjak peristiwa hitam itu, kami tidak lagi bertegur sapa. Ya, peristiwa hitam itu telah mengubah hubungan antara jiran tetangga. Peristiwa hitam itu masih menghantui sebahagian daripada kami sampailah ke hari ini.


Flashbek:

Sangkaku petang itu sama seperti petang-petang sebelumnya. Namun ternyata aku silap. Kebanyakan budak-budak minor (bawah umur) di kawasan perumahan itu akan bermain bola bersama-sama termasuklah aku, si Gemok, Diknon, Mek Jah rumah sebelah, kakak kepada Mek Jah rumah sebelah, budak-budak lain yang aku tidak tahu namanya dan juga Kahar. Ya, Kahar pada masa itu belum lagi menjalani proses transformasi dari itik hodoh kepada putera kayangan yang suka muzik grunge. Belum lagi. Masa itu, hingus kami masih belum kering. Jerawat pun belum tumbuh. Sedang kami bermain bola, entah apa silapnya, bola yang ditendang budak yang tidak aku tahu namanya, melantun masuk ke rumah Kahar.
Prang!!!!!!!!!!!!! Bunyi objek pecah bergema. Kami sudah ketakutan. Tiba-tiba bapak Kahar muncul dengan wajah ala Stalin berkain pelekat. Kami lari lintang-pukang. Ya, peristiwa hitam itu masih bermain jelas seperti bioskop di fikiranku. Semenjak hari itu, kami tidak lagi bertegur sapa. Lebih sepuluh tahun berlalu, semua gadis di taman perumahan itu menggigit jari kerana langsung tidak menyangkakan bahawa Kahar telah membesar sebagai seorang lelaki yang indah, menawan dan luar biasa kacak. Ya, peristiwa hitam itu...



scene 2:

Omak menghadiahkan sepasang selipar buat Apak. Si Gemok pula kasi minyak wangi yang dipilih bekas kekasihnya bersama sekeping kad harijadi untuk Apak. Omak mula tidak puas hati kerana pada harijadi Omak, si Gemok tidak menghadiahkan apa-apapun. Omak baca kad harijadi Apak yang diberi si Gemok berulang kali. Barangkali Omak lupa, harijadi Omak tahun lepas, si Gemok hadiahkan minyak wangi yang harganya ratusan ringgit. Cuma tahun ini sahaja si Gemok terlupa. Omak baca lagi kad harijadi Apak, lagi, lagi dan lagi...
"birthday ayah dia kasi kad dengan perfume, birthday mak tak kasi apa pun..."

Aku bersandar pada sofa, memandang hadiah hari ibu yang aku letakkan atas meja di tepi tangga. Posisinya masih sama, langsung tidak berganjak. Pada hari minggu yang lalu, cik Nab telah meyakinkan aku untuk membeli sesuatu di sentral market sempena hari ibu. Sudah ku bilang pada cik Nab yang Omak tidak faham seni. Namun cik Nab tetap berkeras bahawa Omak akan suka dengan pemberianku. Justeru aku beli satu lukisan kartun yang murah dan aku tulis haiku yang berbunyi begini:

as i strut my feet along this time parade
i live and slowly learn
that this affection is infinite

tak tahulah tulisan ni boleh baca ke tidak
selamat hari ibu Omak
daripada akak yang banyak lemak

Hadiah itu masih di tempatnya, tidak berganjak sedikitpun, tanda ianya tidak pernah di sentuh apatah lagi di baca. Omak masih lagi menatap kad harijadi Apak, membebel tentang si Gemok yang terlupa untuk menghadiahkannya apa-apa.
"ala, mak nak bising pasal abang tak kasi hadiah...Orang kasi present mother's day bukannya mak kesah pon..." kata aku.
"Eh ye ke? mane?"
"Tu yang atas meja tu apa?"
"Oh itu ke...Mak ingat ape bende la tu...terima kaseh akak..."

aku lihat sahaja Omak yang masih membaca kad harijadi Apak untuk kali yang entah ke berapa. aku lihat hadiah hari ibu yang aku letakkan atas meja di tepi tangga. Adakah hadiah tahun ini akan menjadi seperti ros merah dua ringgit yang aku beli sewaktu aku darjah tiga dulu?

Omak masih di situ, membaca kad harijadi Apak. Hadiah hari ibu aku masih di situ, tidak disentuh mahupun dibaca, di atas meja di tepi tangga. Malas mahu melayan hati sendiri, aku baring atas sofa, cuba untuk tidur. Memang babi sebab entah mengapa pada saat-saat begitu, mataku tak mahu pejam...

terima kasih?
ya, sama-sama...
kasih di terima...

2 comments:

  1. hey. it doesn't matter what she thinks of it, but what you mean behind it.


    i think you're an ace daughter, and what you wrote is super awesome. someday, she'll understand. :)

    ReplyDelete
  2. kau ni buat aku touching la...terime kaseh cik sapikah hehe:)

    ReplyDelete